
MASIH tidak berubah, segelintir mahasiswa menjadikan pilihan raya kampus tempat meluahkan ketidakpuasan hati dan emosi.
Meskipun  kebanyakan warga kampus enggan diperguna dan  diperkotak-katik,  tindakan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri  bagai menyusahkan  orang lain hingga mengganggu kelancaran proses  pembelajaran dan  ketenteraman.
Akhirnya,  timbul persoalan apakah mereka tidak memikirkan kesan  jangka panjang  akibat perbalahan dan pertelingkahan atau hanya hangat  sementara.  
Calon  Fakulti Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  (UIAM) yang  bertanding atas tiket Bebas, Nik Muhammad Hanis Nek Rakami,  berkata  pilihan raya adalah platform mahasiswa memperjuangkan idealisme  dan  pandangan masing-masing.
Menurutnya,  sikap pihak atasan yang  memandang remeh kehendak atau pandangan  mahasiswa menyebabkan  mereka  mengambil kesempatan mempergunakan  pilihan raya sebagai medium  melahirkan emosi.
“Bagi  segelintir mahasiswa, pilihan raya kampus  amat dinanti-natikan kerana  inilah peluang meluahkan emosi serta  pandangan tanpa sekatan.
“Pertembungan  pendapat tidak dapat  dielakkan. Selalunya mahasiswa lebih berminat  melihat isu dan jika   calon itu boleh dipercayai, mereka akan memilih,”  katanya.
Apakah isu yang sering mendapat tumpuan di kalangan mahasiswa?
Katanya, soal kebajikan adalah agenda utama kempen calon perwakilan pelajar.
“Kebajikan   mewakili skop yang luas. Ada mahu kemudahan kediaman dan biasiswa   manakala yang lain berharap hubungan dengan hal ehwal pelajar dan   mahasiswa lebih telus serta terbuka.
“Jika  calon pandai mencari  peluang, ini akan melonjak saham mereka sebagai  pilihan. Bagaimanapun,  ada isu nasional sering dibangkitkan atas tujuan  tertentu sekali gus  menjadikan bahang pilihan raya kampus hangat,”  katanya.
  Pertembungan  pihak yang  berjuang menerusi manifesto masing-masing juga  menjadikan  pilihan raya kampus medan  perbalahan menegakkan pendapat.
Sama   ada calon Pro-Aspirasi (Pro-A), Pro-Mahasiswa (Pro-M) atau Bebas,   mereka perlu bijak menggunakan pendekatan ilmiah dan kematangan sebagai   pemimpin.
Calon Umum  Pro-M, Kelvin Tee, berkata walaupun  masyarakat melihat pilihan raya  kampus pentas politik picisan, ia  landasan terbaik menonjolkan  kewibawaan masing-masing.
“Ada  pihak  melabelkan kamii kuda tunggangan orang lain tapi adakah mereka  faham  perjuangan kami yang bangkit atas rasa tertindas dan dinafikan  hak?
 “Adakah salah jika mahu mengembalikan kuasa kepada mahasiswa sendiri untuk membuat keputusan.
“Kehendak   kami ialah memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk   mencorakkan perjalanan masing-masing tanpa campur tangan pentadbiran.
“Kami   diperlekehkan seolah-olah suara kami tidak laku. Pro-M selalu   menekankan isu kebebasan mahasiswa dan pihak pentadbiran tidak boleh   campur tangan dalam urusan membabitkan mahasiswa,” katanya.
Inilah   yang berlaku apabila hak mahasiswa dicabuli seperti insiden di   Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila  Pro-M bagai mengambil tindakan   undang-undang membantah keputusan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal   Pelajar dan Alumni UPM, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan membatalkan pencalonan   33 calon Pro-M termasuk 11 daripadanya yang menang pada pemilihan,   Isnin lalu
Mereka  mendesak Dr Mohd Fauzi  meletak jawatan dan  mencabar kewibawaan  universiti bagi membuktikan ketelusan dan semangat  demokrasi  berpolitik.
Malah,  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin meminta isu itu  diselesaikan secara perbincangan antara  kedua-dua pihak bagi  menyuburkan proses demokrasi.
  Ketua  Jabatan Falsafah dan Kajian Ketamadunan, Jabatan Pengajian  Kenegaraan  dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra  Malaysia, Prof  Madya Dr Zaid Ahmad, berkata ketaksuban mahasiswa  terhadap rencah  politik boleh membawa pelbagai definisi berbeza.
Menurutnya,   mahasiswa perlu menggunakan pilihan raya kampus sebagai platform  menjana  proses kematangan, kedewasaan serta keilmuan tinggi untuk  membina  pengalaman.
“Malangnya  ini sukar berlaku kerana sejak dulu,  pilihan raya kampus sentiasa  menjadi medan panas untuk memperjuangkan  agenda tertentu yang kadang  kala tidak relevan,” katanya.
Beliau mengakui, ada mahasiswa terikut-ikut cara politik di luar sehingga menyimpang kepada isu-isu nasional.
“Pilihan   raya memang gelanggang  berpolitik dan tidak salah jika ingin  berkempen  tetapi pastikan ia mengikut lunas undang-undang.
“Ia bukan tindakan semberono  meskipun diperjuangkan atas dasar hak untuk membela nasib mahasiswa lain.
“Jangan samakan politik kampus dengan politik nasional kerana proses, agenda, manifestonya berbeza,” katanya.
Beliau    turut tidak bersetuju apabila mahasiswa menggunakan pilihan raya   sebagai landasan memenuhkan agenda tertentu hingga menyebabkan mereka   tidak bersalah menjadi mangsa keadaan.
“Masih  ada mahasiswa yang  taksub dengan perjuangan serta idealisme dibawa  kerana mungkin   terpengaruh dengan dakyah dicetuskan pemimpin dikagumi.
“Biar apapun matlamat perjuangan, mahasiswa perlu menggunakan kesempatan pilihan raya kampus untuk mencari pengalaman, ilmu dan kemahiran sebelum menyertai pilihan raya sebenar di luar,” katanya.
Sumber : Harian Metro Online


 

 



0 comments:
Post a Comment