Susunan SITI AINIZA KAMSARI
http://www.utusan.com.my
Ini menyebabkan kisah perjalanan hidup William Webb 38, tidak dapat dikongsi oleh lebih ramai umat Islam di negara ini.
Sedangkan Webb atau nama Islamnya Suhaib Webb, berjaya membuktikan bahawa Islam adalah milik semua, termasuk dirinya yang berkulit putih dan warga Barat.
Tidak sekadar itu, malah sejak memeluk Islam ketika berusia 20 tahun sehinggalah kini, Suhaib mempunyai kualiti yang sangat cemerlang sebagai seorang Muslim. Sehingga adakalanya mengundang persoalan kerana dia cukup berbeza bagi mereka yang lahir dalam Islam.
Suhaib dilahirkan di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1972 dalam keluarga yang berpegang kuat kepada Kristian (Prostestan).
Datuknya merupakan paderi. Maka tidak menghairankan jika Suhaib di zaman kanak-kanaknya akan ke gereja tiga kali seminggu.
Namun pada usia 14 tahun, Suhaib mula hilang minat terhadap agamanya sendiri yang beliau sifatkan akibat krisis kerohanian.
Atau sebenarnya disebabkan beliau mula terlibat dengan kumpulan remaja yang nakal lagi liar.
"Namun yang lebih hebatnya lagi, saya juga merupakan seorang Deejay Hip Hop dan sering merakamkan lagu dengan ramai artis ketika itu," katanya.
Namun melalui industri muzik itulah juga Suhaib mula diperkenalkan dengan Islam, iaitu ketika berusia 17 tahun apabila seorang kenalan dalam industri tersebut menghadiahkannya senaskhah al-Quran terjemahan.
"Sejak itu, al-Quran sedikit demi sedikit mula memberikan pengaruh cukup besar dalam hidup saya. Namun ketika itu saya semakin jauh terheret dalam kehidupan yang ganas akibat bergaul dengan kumpulan-kumpulan remaja liar," katanya.
Sehinggalah pada suatu hari, sebuah kereta peronda polis mengejar dan terpaksa beberapa kali menembak Suhaib yang memandu kereta atas jenayah berkumpulan yang mereka lakukan.
Walaupun terselamat namun kejadian ini menjadi satu siren amaran yang kuat kepada Suhaib untuk sedar sebelum segala-galanya terlambat.
"Saya benar-benar sedar sejak kejadian itu dan tidak ada cara atau jalan lain kecuali memeluk Islam bagi memastikan saya tidak lagi terjerumus dalam kancah jenayah," katanya yang akhirnya memeluk Islam pada tahun 1992.
Islam benar-benar memberikan pengaruh yang sangat besar dalam hidup Suhaib yang antara lain menuntut umatnya supaya menjadi seorang yang berilmu.
Maka Suhaib melanjutkan pengajian di University Of Central, Oklahoma dan akhirnya membawa pulang segulung ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan.
Namun tidak sahaja beliau belajar di universiti bagi melengkapkan keperluan pendidikan rasmi, bagi yang tidak rasmi Suhaib belajar mengenai Islam dan bahasa Arab secara persendirian dengan seorang ulama dari Senegal.
Ini melayakkan Suhaib akhirnya dilantik menjadi imam di pusat komuniti Islam yang dikenali sebagai The Islamic Society of Greater Oklahoma City.
Daripada seorang yang dahulu dunianya agak 'hitam', Suhaib benar-benar mengalami transformasi besar dalam hidupnya apabila secara rasmi bertugas sebagai seorang mursyid atau guru untuk sebuah sekolah Islam di bandar Oklahoma, iaitu Mercy School.
Ini diikuti pada 2004, beliau bersama anak isteri berhijrah ke Kaherah, Mesir untuk melanjutkan pengajian ke sebuah pusat pengajian terkemuka Islam di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar.
Pengendali laman web yang sangat menarik untuk dilayari ini iaitu Suhaib Webb - Your Virtual Mosque, Suhaib turut terlibat secara aktif dalam dunia dakwah. Namun tidak sahaja untuk tujuan menyebarkan Islam.
Kerana apa yang lebih penting, untuk menjadi jambatan yang dapat menghubungkan antara Islam dan Barat yang selama ini begitu diuji oleh pelbagai isu dan kejadian yang tidak disenangi oleh semua.
Suhaib juga menjadi penggerak sayap belia untuk Muslim American Society dan kini merupakan tenaga pengajar untuk Al Maghrib Institute, sebuah universiti maya yang beroperasi 24 jam di AS, United Kingdom dan baru-baru ini membuka cawangannya di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment